LONDON – Bayern Munich terus menjadikan Chelsea sebagai ‘destinasi’ untuk membeli belah apabila menamakan seorang lagi pemain yang menjadi sasaran mereka pada jendela perpindahan kali ini.
Bayern yang dibimbing Vincent Kompany sebelum ini menjadikan Christopher Nkunku sebagai sasaran dan kali ini menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Malo Gusto.
Gusto, 22, menyertai The Blues pada Januari 2023 apabila Chelsea mendapatkan khidmatnya dari Lyon pada harga awal £26 juta (RM156 juta), berpotensi meningkat kepada £31 (RM186 juta) bergantung kepada syarat-syarat tambahan.
Setelah tiba di Stamford Bridge pada awal musim lalu, Gusto berjaya menonjol dan diberi peluang lebih kerap apabila kapten pasukan, Reece James, bergelut dengan masalah kecederaan.
Wartawan Chelsea, Simon Phillips melaporkan, Bayern telah menghantar pertanyaan rasmi untuk melihat kesediaan kelab London itu melepaskan Gusto pada jendela perpindahan musim panas.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca terbuka dengan idea untuk menjualnya walaupun Gusto telah menjadi salah satu pemain Chelsea yang lebih berjaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Langkah Bayern turut didorong oleh kemunculan Josh Acheampong, graduan akademi yang diberi harapan besar di Stamford Bridge dan dilihat mampu menjadi sandaran jangka pendek dan jangka panjang di posisi bek kanan.
Bayern mungkin menjadi destinasi utama Gusto untuk musim depan, walaupun gergasi Jerman itu tidak bersedia membayar £51 juta (RM306 juta) yang diminta oleh Chelsea untuk melepaskan pemainnya. – AGENSI