fbpx

Warga emas direman kes tipu pakej haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi mendapatkan perintah reman. Foto MOHD SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 67 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes 47 jemaah Malaysia yang diperdaya ejen haji tempatan.

Perintah reman sehingga 20 Jun itu dibenarkan Majistret Fairuz Shuhada Amran di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membolehkan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Terdahulu, suspek yang berpakaian serba putih dan berkopiah tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kereta polis.

Semalam, media melaporkan hasrat 47 jemaah warga emas untuk menunaikan Rukun Islam kelima bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen dipercayai membabitkan seorang agamawan.

Difahamkan, kesemua mangsa terperdaya dengan janji manis, namun realitinya mereka dipaksa meredah laluan berbahaya dan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi ke atas jemaah yang tiada visa haji.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor semalam selepas laporan polis dibuat oleh waris mangsa di Mantin dekat sini.

“Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka. Siasatan awal mendapati mereka kerugian sebanyak RM81,000.

“Setiap mangsa membayar sebanyak RM27,000 kepada suspek untuk menyertai pakej haji yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia ke 103 di sini, hari ini.

Menurut beliau, polis giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada penipuan itu dilakukan oleh individu atau syarikat. Polis dijangka memanggil beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI