PARIT BUNTAR – Nelayan tempatan, Cheah Chai Pua, 33, dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua awak-awak terbakar di perairan Kerian kira-kira lapan batu nautika dari Jeti Nelayan Tanjung Piandang awal pagi tadi.
Mangsa yang juga tekong bot dipercayai terjatuh ke laut dan masih belum ditemui setakat petang ini.
Kakaknya, Paulime Cheah, 41, berkata, sebelum ini dia melarang adiknya atas sebab kesihatan, namun lelaki itu tetap ke laut bersama rakan-rakan, Mohamed Jabia Rohim, warga Myanmar dan Muhamad Hariz Ahmad Radzi.
“Pada pukul 2.30 pagi tadi, seorang nelayan memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa adik. Saya segera meminta bantuan nelayan tempatan untuk mencari adik di lokasi berkenaan.
“Dia baru lima tahun menjadi nelayan selepas pulang dari Australia. Saya tak menyangka kejadian seperti ini berlaku ke atasnya,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Bagan Selatan hari ini.
Paulime memaklumkan, adiknya mempunyai dua anak berusia setahun dan enam bulan.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Hairil Othman, berkata pihaknya menerima laporan pukul 3 pagi dengan dua daripada tiga mangsa berjaya diselamatkan nelayan tempatan yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, operasi pencarian difokuskan dalam radius lima batu nautika dari lokasi mangsa terjatuh namun angin kencang dan alun laut yang tinggi menyukarkan pencarian di permukaan air. – KOSMO! ONLINE