CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan berdepan bencana dan kecemasan di tempat awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak direka khusus untuk menyokong operasi bantuan oleh MCMC serta pasukan penyelamat.
Menurut beliau, PRIME menggabungkan pelbagai teknologi seperti satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron serta berkeupayaan menyediakan ketersambungan komunikasi boleh dipercayai mengikut keperluan operasi di lokasi mencabar.
“Ini merupakan usaha pihak MCMC untuk membantu agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi memastikan di kawasan operasi bencana, aspek komunikasi dapat terus kita uruskan dengan baik.
“Kita harap PRIME dapat membantu urusan penyediaan saluran komunikasi terutama bagi pasukan-pasukan petugas,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran PRIME di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, selain peranan dalam pengurusan bencana dan kecemasan, PRIME juga akan dimanfaatkan bagi menyokong program jangkauan komuniti termasuklah Pusat Sebaran Maklumat Nasional yang berfungsi sebagai hab digital kepada komuniti setempat.
Jelasnya, sebanyak tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat sepanjang tahun ini dengan unit pertama ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC dan berperanan menyokong pelaksanaan operasi di Semenanjung. – KOSMO! ONLINE