PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 dalam usaha memastikan kelangsungan sumber laut negara, kebajikan nelayan dan integriti sistem subsidi terus dipelihara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi peruntukan itu, kerajaan bersetuju melaksanakan dua skim utama iaitu Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan dan Skim Geran Padanan untuk Penggantian Pukat Tunda dan Bot dengan dana RM150 juta.
“Skim terbabit bagi menaik taraf vesel dan automasi industri perikanan selain memastikan kaedah tangkapan yang lebih lestari dan mesra alam,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN) sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh sektor perikanan negara serta memperkasa komuniti nelayan.
Menerusi mesyuarat itu, turut dibentangkan Hasil Sesi Libat Urus Komuniti Nelayan (SLU) sejak November 2024 dengan mengenal pasti 37 isu utama nelayan.
Ahmad Zahid berkata, sebanyak 46 peratus isu telah diselesaikan melalui tindakanrentas kementerian, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan yang inklusif dan responsif terhadap suara komuniti nelayan.
“Mesyuarat turut bersetuju melaksanakan Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA): Akuakultur untuk Nelayan B40.
“Projek strategik ini menyasarkan nelayan tidak berlesen di Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis untuk beralih ke industri akuakultur. Pelaksanaan empat fasa akan melibatkan ternakan kerang dan kupang dengan potensi pulangan RM50 juta setahun,” jelasnya.
Katanya, kos keseluruhan RM5 juta bagi tempoh 2025–2029 akan disokong melalui Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur.
Selain itu, turut diperkenalkan Program Latihan dan Geran Keusahawanan Nelayan Tempatan yang mana Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Lumut, Perak akan melatih tekong dan nelayan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kru asing.
“Program termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), latihan jangka pendek dan sokongan geran keusahawanan sehingga RM200,000. Sebagai permulaan, Projek Rintis 2025 akan melibatkan 50 peserta,” katanya.
Selain itu, turut dibincangkan mengenai Ops Tiris 1.0 hingga 3.0 yang telah berjaya membanteras penyelewengan subsidi diesel dengan 1,600 tangkapan dilakukan melibatkan nilai lebih RM400 juta. – KOSMO! ONLINE