KUALA PILAH – Perjalanan pulang dua rakan sekerja kedai berkonsepkan rantaian kafe, di daerah ini ke rumah berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Seremban – Kuala Pilah, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu, kedua-dua mangsa menaiki kereta jenis Perodua Myvi dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban.
Menurutnya, setiba di lokasi, pemandu iaitu lelaki berusia 22 tahun telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
“Akibat kemalangan ini, rakan sekerjanya seorang wanita berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian, manakala pemandu patah tangan dan masih dirawat di zon merah Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya. – KOSMO! ONLINE