JEMPOL – Seorang pembantu kedai runcit maut dalam kemalangan selepas kereta dipandu bertembung dengan kenderaan lain yang sedang memotong tiga buah motosikal di Kilometer 27, Jalan Bahau-Kemayan di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa berusia 28 tahun yang memandu Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Norhisham Mustapar, berdasarkan siasatan awal, kereta jenis Proton Waja dipandu lelaki berusia 38 tahun bertembung dengan Perodua Myvi ketika sedang memotong tiga buah motosikal.
“Kemalangan tersebut menyebabkan lelaki yang memandu kereta Proton Waja itu hilang kawalan dan melanggar pula tiga buah motosikal,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ketiga-tiga penunggang motosikal berusia antara 29 hingga 42 tahun mengalami kecederaan.
Menurut Norhisham, kejadian tersebut turut mengakibatkan sebuah lagi kereta jenis Proton Waja yang dipandu wanita berusia 38 tahun bergesel dengan Perodua Myvi terbabit.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahayakan. – KOSMO! ONLINE