ATLANTA – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca sudah pun menetapkan misi jelas pada penyertaan mereka di Piala Dunia Kelab musim ini.
Selepas berupaya menghadirkan trofi buat pasukan pada musim sulungnya, Maresca percaya skuad kendaliannya mampu mengekalkan rentak positif, bermula aksi pertama menentang Los Angeles FC di Stadium Mercedes-Benz awal pagi esok.
“Apabila kamu berada di Chelsea, matlamat pastinya mahu meraih kemenangan dan itulah yang kami lakukan dalam setiap perlawanan. Apabila berada di Piala Dunia Kelab, ia satu penghargaan dan kami akan cuba memenanginya.
“Kami perlu melihat apa yang pernah dilakukan oleh jurulatih sebelum ini sebagai sumber motivasi. Seperti saya katakan, kami sudah berada di sini dan sasarannya untuk meraih kemenangan,” katanya.
Sebelum ini, Maresca dilabel sebagai salah seorang pengurus terbaik dalam sejarah The Blues apabila menghadiahkan kejuaraan Liga Konferens Europa pada musim pertamanya di Stamford Bridge.
Walaupun kejuaraan itu tidak sepadan dengan status Chelsea, namun ia sudah memadai buat Maresca kerana kejohanan itu turut menjadi tumpuan di Eropah.
Selepas kejayaannya meletakkan Chelsea dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini, Maresca pastinya menjadi salah seorang pengurus tumpuan khususnya di kalangan penyokong setia The Blues. – AGENSI