KUALA TERENGGANU – Penganjur RXZ Members 7.0 menjalin kerjasama dengan syarikat takaful, Takafulgo Venture menawarkan pelan perlindungan kemalangan diri buat peserta perhimpunan motosikal Yahama RXZ terbesar tersebut yang dijadual berlangsung Ogos depan.
Pengarah program RXZ Members Official, Faizal Mat Ali berkata, ia inisiatif pihaknya bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan perlindungan buat peserta program tersebut dalam kalangan penunggang motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kita mengambil pengajaran daripada enam penganjuran sebelum ini, walaupun ramai berhati-hati dan penganjur sering memberi ingatan, perjalanan jauh meningkatkan risiko kemalangan termasuk meragut nyawa.
“Sehubungan itu, kita terus berusaha meningkatkan lagi tahap keselamatan dan perlindungan peserta yang bakal memenuhi Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 hingga 24 Ogos depan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili RXZ Members Original menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TakafulGo Venture yang diwakili Pengarahnya, Irwan Irma Nizam Mahmud.
Faizal berkata, penganjuran RXZ Members 7.0 dijangka menarik penyertaan 100,000 peserta berbanding 80,000 orang pada edisi tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau menyeru peminat Yamaha RXZ yang bakal menyertai perhimpunan tahunan tersebut mengambil peluang dengan menyertai pelan perlindungan kemalangan diri ditawarkan TakafulGo Venture terbabit.
Sementara itu, Irwan Irma Nizam berkata, kerjasama tersebut merupakan inisiatif TakafulGo Venture yang merupakan anak syarikat Etiqa Takaful Berhad membantu peminat permotoran khususnya Yamaha RXZ mendapat perlindungan tambahan. – KOSMO! ONLINE