IPOH – Tiga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang cedera dalam kemalangan meragut nyawa 15 rakan seuniversiti di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik Isnin lalu, masih dirawat di hospital.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, Lili Suzana Mat Ya’acob, 23, dan Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi, 21, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala Nur Liyana Zainudin, 23, pula menerima rawatan di Hospital Taiping.
“Selain daripada tiga pelajar tersebut, terdapat tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera dalam nahas itu.
“Ketiga-tiga mereka yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza kini dirawat di Hospital Baling, Kedah. Kemas kini setakat pukul 9 pagi tadi, keenam-enam mangsa dilaporkan stabil dan menunjukkan perkembangan positif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE