fbpx

Malaysia kaji undang-undang khusus teknologi AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina ketika merasmikan Akademi Perundangan Negara pada Perhimpunan Bulanan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Bangi hari ini. Foto BHEUU

BANGI – Kerajaan sedang menjalankan kajian menyeluruh menggubal undang-undang khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani cabaran dan ancaman teknologi itu yang semakin berkembang pesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha itu memerlukan kerjasama antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Kementerian Digital.

“Saya sudah menulis surat rasmi kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo supaya kita tubuhkan satu jawatankuasa bersama. AI adalah satu bentuk platform yang sangat kompleks dari sudut teknikal dan pembuktian,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi di sini, hari ini.

Menurut Azalina, satu-satunya rujukan undang-undang AI di peringkat global setakat ini ialah yang dilaksanakan di Kesatuan Eropah (EU), namun Malaysia perlu menyesuaikannya dengan realiti tempatan.

Sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa isu pembuktian tandatangan digital dalam dokumen perbankan memerlukan mekanisme baharu yang lebih kukuh untuk mengelak pemalsuan melalui AI.

Azalina berkata, usaha pendigitalan mahkamah termasuk penggunaan sistem suara ke teks (voice-to-text) dan penghantaran dokumen secara digital telah dimulakan di Putrajaya dan akan diperluas ke mahkamah luar bandar.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar mediasi dijadikan penyelesaian awal bagi pertikaian sivil sebelum kes difailkan di mahkamah.

“Sekarang ini mahkamah hanya arahkan mediasi selepas kes difailkan. Kita mahu kaji sama ada wajar untuk orang ramai ke mediasi dahulu,” katanya.

Langkah itu menurutnya, mampu mengurangkan kesesakan di mahkamah dan mempercepatkan penyelesaian kes seperti pertikaian kecil dan kemalangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI