PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkarkan kegiatan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) hasil sumbangan orang ramai dipercayai berjumlah RM26 juta.
Sumber berkata, kegiatan penyelewengan dana itu terbongkar susulan tangkapan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau.
Katanya, operasi itu dijalankan SPRM Selangor di beberapa lokasi di Selangor, Melaka dan Pulau Pinang sejak Khamis lalu.
Sumber itu memberitahu, empat daripada mereka direman hingga Rabu ini, manakala seorang lagi ditahan reman hingga Khamis.
“Modus operandi NGO tersebut dengan menyeleweng dana itu hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi. Selain itu (digunakan) membeli barang kemas, kereta, tanah, rumah dan mata wang kripto.
“Mereka juga dipercayai memindahkan dana itu ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri,” katanya di sini hari ini.
Kegiatan penyelewengan dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2015 sehingga kini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, pihaknya menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta.
Antara barangan yang disita adalah barang kemas bernilai RM100,000, wang tunai lebih RM1 juta, akaun kripto bernilai RM650,000 dan empat buah rumah berharga lebih RM1.4 juta
“SPRM juga telah membekukan 14 akaun perbankan melibatkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya. – KOSMO! ONLINE