fbpx

Lelaki Thailand cuba seludup ganja dalam beg galas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD menunjukkan dadah jenis ganja yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPK Perlis di Kangar, hari ini.

KANGAR – Cubaan seorang lelaki Thailand menyeludup masuk 27 peket plastik berisi ganja dari negara itu gagal apabila dicekup polis di Padang Besar dekat sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pemeriksaan ke atas suspek berusia 21 tahun itu membawa kepada penemuan tumbuhan hijau seberat 2.98 kilogram (kg) bernilai RM9,238 di dalam beg galas disandangnya.

“Hasil soal siasat, polis bertindak menahan seorang lagi suspek iaitu lelaki tempatan berusia 25 tahun di Alor Setar yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket itu adalah membawa bekalan dadah dari Thailand ke negara ini berdasarkan permintaan dengan bayaran RM1,500 bagi setiap penghantaran.

“Jumlah ganja yang dirampas ini boleh digunakan oleh 29,870 penagih. Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah. Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 12 Jun lalu,” katanya.

Dalam kes berasingan, Muhammad memberitahu, rampasan dadah kedua dilakukan di kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini pada 9 Jun lalu.

“Bertindak atas maklumat dadah, kita berjaya merampas 4.2 kg ganja dianggarkan bernilai RM13,020. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh disalah guna oleh 42,000 penagih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI