PETALING JAYA – Seorang individu terkejut apabila dikenakan bayaran berjumlah hampir RM10,000 oleh ejen sebelum memasuki rumah sewa.
Menerusi perkongsian seorang wanita di Threads, upah ejen yang dikenakan adalah RM2,160, manakala bayaran sewa bulanan pula sebanyak RM2,000.
“Setelah dicampur deposit sekuriti, utiliti dan lain-lain, bayaran keseluruhannya mencecah RM9,660,” katanya.
Wanita itu meluahkan rasa terkejut terutama upah ejen yang dikenakan sedangkan bayaran tersebut sepatutnya dibayar oleh pemilik rumah.
“Terkejut saya. Cari rumah nak sewa, tapi tengok upah ejen. Kenapa saya kena bayar banyak tu untuk upah ejen? Betul ke dari segi undang-undang macam ini?,” soalnya.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai yang berpendapat upah ejen tersebut sepatutnya dijelaskan oleh pemilik rumah, bukannya penyewa.
“Ini salah, boleh buat laporan. Biasanya upah ejen pemilik rumah bayar. Biasanya sewa bulan pertama dapat pada ejen, bukannya penyewa,” balas Saifuddin.
“Pemilik rumah letak beban upah ejen ke atas penyewa. Sepatutnya pemilik yang kena bayar,” kata Adam Fairuz.
“Aku pun baru kena. Betul ke penyewa yang kena bayar nak dekat RM10,000 juga kena keluarkan duit hendak menyewa rumah,” kongsi Anis. – KOSMO! ONLINE