KUALA TERENGGANU – Seorang murid perempuan tahun enam sebuah sekolah rendah di sini mendakwa menjadi mangsa buli rakan lelaki sedarjahnya sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital akibat pendarahan pada bulan lalu.
Mangsa mengalami kecederaan itu akibat ditendang pada bahagian perut dalam kejadian pada 21 Mei lalu.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) berkata, tindakan telah diambil mengikut prosedur standard operasi (SOP) Buli dan Salah Laku kementerian yang turut melibatkan pegawai perhubungan sekolah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada salah faham antara murid lelaki dan mangsa sehingga menyebabkan pergaduhan. JPNT komited memastikan isu berbangkit dapat diselesaikan secara baik dan harmoni demi kesejahteraan murid, ibu bapa serta semua pihak terlibat,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, hantaran bapa mangsa yang mendakwa anaknya mengalami kecederaan akibat dipukul seorang murid lelaki sehingga terpaksa dirawat di hospital tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE