fbpx

Atuk upah RM7 beli aiskrim lepas ‘sentuh’ dua beradik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAAFAR didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan mencabul dua beradik perempuan di sebuah rumah di Muar, 8 Jun lalu.

MUAR – Seorang duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua beradik perempuan sebelum mengupah wang untuk membeli aiskrim, minggu lalu.

Tertuduh, Jaafar Attan, 60, yang juga penganggur membuat pengakuan itu sejurus empat pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, warga emas terbabit didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa sembilan tahun di sebuah rumah dalam daerah ini, pada pukul 5.30 petang, 8 Jun lalu.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa melakukan perkara sama terhadap seorang lagi adik perempuan mangsa pertama berusia tujuh tahun dengan kesemua kejadian, masa dan tarikh berlaku di tempat sama.

Oleh itu, tertuduh berdepan hukuman mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, pada hari kejadian tertuduh bertandang ke rumah rakan yang kebetulan berjiran dengan dua beradik itu.

Ketika itu, dua beradik bersama seorang lagi adik lelakinya sedang bermain sebelum tertuduh memanggil mereka berdua dan melakukan perbuatan itu.

Sejurus kemudian, tertuduh memberikan RM7 kepada tiga beradik itu untuk membeli aiskrim. Namun, ketika salah seorang mangsa mahu memulangkan baki RM1, tertuduh mengambil kesempatan mengulangi perbuatan jijik.

Kejadian itu hanya disedari selepas ibu mangsa ternampak anaknya keluar dari rumah rakan tertuduh sambil menangis sebelum menceritakan kejadian sebenarnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 bagi kesemua pertuduhan, namun warga emas itu tidak mampu membayar lalu dibawa ke Pusat Koreksional Muar untuk tahan sementara.

Kes disebut semula 21 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI