KUANTAN – Amerika Syarikat (AS) telah memberi kebenaran bagi membolehkan Malaysia mengadakan perbincangan lanjut dan mendalam berhubung perolehan lebih 30 pesawat pejuang terpakai F/A-18c/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF).
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, pada masa ini satu jawatankuasa telah ditubuhkan antara Kementerian Pertahanan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan juga KAF.
“Kebenaran sudah diberikan oleh pihak AS untuk mengadakan perbincangan lanjut dan mendalam, proses akan diadakan dalam masa terdekat. Kita perlu juga melihat KAF perlu mendapatkan pesawat baharu, F/A-18 E dan F Super Hornet yang dibeli dari AS.
“Itu adalah antara faktor utama, Bila mereka (KAF) mula mendapat pesawat-pesawat Super Hornet baharu, ia akan ada pemindahan positif pesawat insya-Allah dari Kuwait kepada Malaysia. Perbincangan sudah mula dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-67 TUDM di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.
Walaupun tidak dinyatakan tetapi Kuwait dijangka menerima pesawat Super Hornetbaharu secara berperingkat bermula tahun depan.
Dasar AS menetapkan bahawa kebenaran mesti diperoleh sebelum sebarang aset ketenteraan buatan negara itu dijual walaupun oleh negara pengguna sedia ada.
TUDM sebelum ini mengumumkan cadangan membeli 30 pesawat terpakai jenis F/A-18 C/D Hornet Kuwait sebagai pelengkap sementara sebelum kerajaan melaksanakan pembelian pesawat baharu.
Program pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) TUDM bakal dilaksanakan pada 2040.
Ketika ini TUDM mempunyai lapan pesawat F/A-18D Hornet yang dibuat perolehan pada 1995 dan mula beroperasi pada 1997.
Pada Februari lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari membayangkan pembelian 30 pesawat pejuang terpakai jenis F/A-18 C/D Hornet Kuwait dijangka dimuktamadkan tahun ini. – KOSMO! ONLINE