fbpx
SUSPEK yang mengenakan baju berwarna biru ketika ditahan pihak polis di sebuah premis telekomunikasi di Kampung Padang, Kuantan.

Wanita warga asing ditahan serang peniaga kedai telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang wanita warga asing ditahan selepas dipercayai menyerang seorang peniaga telefon bimbit menggunakan pisau cukur dalam kejadian di sebuah premis telekomunikasi di Kampung Padang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.41 petang itu, mangsa, Husdi Hassan, 47, yang menjalankan perniagaan telefon bimbit di premis berkenaan sejak 10 tahun lalu, mengalami luka kecil pada leher dan kaki selepas bergelut dengan suspek.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas seorang orang awam menghubungi talian kecemasan 999 memaklumkan berlaku kejadian rompakan bersenjata di premis terbabit.

Katanya, susulan maklumat tersebut, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati suspek telah berjaya dikunci di dalam kedai oleh orang awam bagi mengelakkan suspek melarikan diri

Difahamkan suspek yang berusia 39 tahun dipercayai berasal dari Myanmar dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

“Suspek datang ke premis terbabit untuk membeli tambah nilai prabayar sebelum meminta mangsa mengecas telefon miliknya,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ketika mangsa berpaling untuk mengecas telefon, suspek tiba-tiba mengeluarkan pisau cukur dari beg galasnya lalu mengacu ke leher mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya menepis serangan tersebut dan berlaku pergelutan antara kedua-duanya.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Tiada barangan dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI