LUMUT – Kerajaan tidak akan menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap mana-mana individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bukan satu masalah sekiranya SPRM melakukan tangkapan setiap hari ke atas individu yang disiasat badan penguat kuasa berkenaan.
“Yang ini saya tidak boleh bertolak ansur, tatakelola kena betul. Bagi projek tanpa tender kena berhenti, yang sakau sana sakau sini, tak boleh.
“Biar SPRM geledah habis, tangkap hari-hari, saya tak peduli, saya tak halang. Ini kata nak tangkap (isu) Sabah, tangkaplah. Orang Kerajaan Perpaduan, tangkaplah. Orang pembangkang, tangkaplah.
“Yang dah pencen dan bercakap banyak, kalau betul dia mencuri, tangkaplah, kalau betul dia curi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat (PMR) 2025 di Lumut Waterfront di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, beliau memahami sekiranya terdapat dalam kalangan rakyat yang menyatakan simpati terhadap golongan pencen sekiranya mereka dikenakan tindakan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ia bukanlah alasan tindakan penguatkuasaan tidak dilaksanakan kerana wang rakyat yang telah dicuri perlu dipulangkan kembali.
“Saya nak kutip sesiapa sahaja yang curi dari negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE