AMPANG JAYA – Polis sedang menyiasat satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang anggota polis dipercayai terlibat dalam perbualan berbaur tidak sopan dengan seorang wanita baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya mengesan video berdurasi satu minit 30 saat itu di media sosial.
“Video yang tular memaparkan perbualan seorang anggota polis dan seorang perempuan di laman sosial Instagram yang berbaur mengaibkan kesantunan wanita tersebut.
“Berdasarkan siasatan awal, anggota polis yang terlibat telah dikenal pasti dan telah pun dikeluarkan daripada penugasan sedia ada buat sementara waktu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Azam, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Tindakan tatatertib dalaman terhadap anggota terbabit turut dijalankan secara selari,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222.
Terdahulu, tular sebuah rakaman video memaparkan perbualan antara seorang wanita dan individu yang dipercayai anggota polis, yang didakwa mengandungi unsur mengaibkan wanita tersebut. – KOSMO! ONLINE