DUBAI – Sebuah bangunan pencakar langit didiami oleh 3,820 orang di kejiranan mewah Marina Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) terbakar malam kelmarin, lapor portal berita MailOnline.
Pasukan Pertahanan Awam Dubai mengambil masa enam jam untuk memadamkan kebakaran, di bangunan setinggi 67 tingkat itu, manakala api berjaya dikawal sepenuhnya pagi semalam.
Kebakaran berlaaku sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan). Punca kejadian masih belum diketahui tetapi satu rakaman video menunjukkan api ia bermula di tingkat atas bangunan tersebut.
Menurut Pejabat Media Dubai (DMO), kesemua 3,820 penghuni daripada 764 pangsapuri dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Pasukan ambulans dan kakitangan perubatan berada di lokasi kejadian untuk memberikan bantuan perubatan kepada penghuni yang dipindahkan,” kata seorang jurucakap DMO di platform X.
Penghuni yang terjejas disediakan kediaman sementara dalam usaha yang diselaraskan oleh pihak berkuasa dan syarikat pemaju bangunan. – AGENSI