PETALING JAYA – Luluh hati seorang bapa apabila anak kesayangan yang baru berusia 10 bulan maut selepas dipercayai terjatuh ketika di bawah jagaan pengasuh di Puncak Alam, di sini, Jumaat lalu.
Pemergian bayi perempuan comel itu, Dahlia Lateefa Muhammad Hisyam, ternyata mengundang kesedihan mendalam buat keluarga terutama bapanya.
Muhammad Hisyam Misran yang berkongsi momen terakhir bersama anaknya itu menerusi satu hantaran di Instagram.
“Selamat pulang ke negeri abadi, Dahlia. My anak syurga, tenanglah kamu di sana,” katanya dalam hantaran itu.
Sementara itu, ibu kepada bayi berkenaan turut meluahkan rasa rindu berikutan pemergian anaknya tersebut.
“Mommy akan rindu kamu sangat-sangat. Terima kasih untuk 10 bulan yang terindah bersama kami,” katanya.
Difahamkan, kejadian menyayat hati itu berlaku ketika mangsa berada di bawah jagaan pengasuh di sekitar Puncak Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan wanita yang bertugas di Zon Merah, Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam pada pukul 10.42 malam, hari kejadian.
“Siasatan awal mendapati, bayi berkenaan tidak sedarkan diri dan dibawa terlebih dahulu ke sebuah klinik berhampiran sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
“Pasukan perubatan hospital memberikan bantuan pernafasan dan rawatan kecemasan selama kira-kira 22 minit, namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan disahkan meninggal dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE