CAMERON HIGHLANDS – Orang ramai di pusat beli-belah tumpuan pelancong, Kea Farm di sini, gempar apabila sebuah kereta tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sekumpulan pengunjung dalam kejadian yang kini tular di media sosial Facebook, Group Informasi Cameron Highlands.
Rakaman video kejadian berdurasi kira-kira 33 saat yang diperoleh daripada kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suasana kecoh apabila kereta jenis Perodua Myvi itu meluru laju di kawasan sesak sebelum melanggar sekumpulan individu yang sedang membeli-belah di tepi jalan.
Insiden mengejutkan itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari yang memperlihatkan terdapat mangsa yang terperosok di bawah kereta berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian memaklumkan seorang lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak masing-masing berusia 10, 8 dan 3 tahun mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa yang merupakan pelancong telah menerima rawatan dan telah dibenarkan pulang.
Tiada kecederaan parah dilaporkan setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, video kejadian berkenaan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen yang meluahkan kebimbangan terhadap kesesakan luar biasa dan tahap keselamatan di kawasan Kea Farm terutama ketika musim cuti sekolah.
Orang ramai turut menggesa agar tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa tempatan bagi mengawal aliran trafik dan pengurusan sampah di kawasan berkenaan yang sering dipenuhi pengunjung.
“Pemandu nampak macam kena sawan,orang tarik keluar dari dalam kereta dia keras kejung,” komen Nurul Ika. -KOSMO! ONLINE.