PEMAIN berdarah kacukan Harimau Malaya, Jon Irazabal optimis pasukan dapat mencapai sasaran meraih slot automatik ke kancah Piala Asia 2027 berlangsung di Arab Saudi nanti.
Irazabal yang merupakan pemain kelahiran Sepanyol menjadi salah seorang daripada lima tonggak warisan baharu membuat debut bersama Harimau Malaya ketika membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa lepas.
Tonggak Sabah FK yang beraksi di Liga Azerbaijan itu membentuk gandingan ampuh bersama seorang lagi pemain kacukan Argentina-Malaysia, Facundo Garces dan kapten, Mathew Davies di benteng pertahanan.
“Kita ada peluang untuk melangkah jauh dalam kelayakan ini.
“Saya harap dapat bersama pasukan mencipta kejayaan dan ini adalah permulaan yang baik dalam karier saya,” kata bek tengah berusia 29 tahun itu.
Malaysia kini pada kedudukan terbaik apabila menerajui carta Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 selepas mengutip enam mata dengan hanya juara kumpulan meraih tiket ke Arab Saudi.
Sementara itu, Irazabal gembira tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan meskipun bergelut dengan keadaan cuaca di Kuala Lumpur yang agak panas berbanding di Eropah.
“Saya teruja kerana semuanya menyambut baik kehadiran saya. Pada mulanya agak sukar memandangkan cuaca panas, tetapi saya berjaya sesuaikan diri dengan cepat,” katanya.
Selain Irazabal dan Garces, tiga lagi pemain warisan baharu skuad kebangsaan ialah Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo.
Skuad negara kendalian Peter Cklamovski akan berehat selama tiga bulan sebelum dikumpulkan semula untuk kalendar antarabangsa bulan September nanti, manakala kelayakan Piala Asia 2027 dijadualkan berlangsung pada Oktober dengan dua aksi bertemu Laos.