PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat berserta angin kencang di enam negeri sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, cuaca buruk itu dijangka melibatkan Perak, Pahang, Terengganu, Selangor, Johor dan Sabah.
“Cuaca buruk di Perak dijangka berlaku di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Kawasan yang terlibat di negeri Selangor adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak serta seluruh negeri Terengganu,” katanya menerusi kenyataan itu.
Hujan lebat di Johor diramal melanda beberapa tempat seperti Segamat, Batu Pahat dan Pontian.
“Bagi Pahang, melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Jerantut dan Rompin.
“Di negeri Sabah pula adalah Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau), Tawau (Tawau) dan Sandakan (Tongod),” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE