KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas kenderaan di pandunya dipercayai gagal memotong sebuah kereta lain di Kilometer 12.5, Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 9.30 pagi itu menyebabkan mangsa, S. Ragupathi, 18, maut di lokasi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan itu melibatkan kereta jenis Proton Iriz dipandu mangsa dengan Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa Proton Iriz dari arah Kulai menuju ke arah Kota Tinggi, manakala Proton Saga itu dipandu dari arah sama.
“Setibanya di tempat kejadian, Proton Iriz dipercayai mahu memotong Proton Saga itu sebelum hilang kawalan serta terbalik dan kemudian melanggar Proton Saga,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat, manakala pemandu Proton Saga tidak mengalami kecederaan. -KOSMO! ONLINE.