fbpx
GAMBAR HIASAN

Bayi 10 bulan meninggal dunia selepas tergelincir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas dipercayai terjatuh semasa berada di bawah jagaan pengasuh di Puncak Alam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan wanita di Jabatan Kecemasan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada pukul 10.42 malam.

Katanya, bayi itu dihantar ke hospital tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan ambulans selepas menerima rawatan awal di sebuah klinik berhampiran.

“Pengadu dan doktor pakar kecemasan memberikan rawatan pernafasan dan ubat-ubatan ke atas bayi itu kira-kira 22 minit, namun mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ibu bayi itu membuat laporan polis menyatakan menerima panggilan daripada pengasuh kira-kira pukul 5.40 petang yang memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pengasuh hendak memandikan mangsa. Bayi itu dikatakan tergelincir lalu jatuh mengiring ke kanan dan sesak nafas.

“Pengasuh kemudian membawa bayi itu ke sebuah klinik di Puncak Alam. Kita sudah merakam percakapan pengasuh itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik menerusi 013-4861194. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI