KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kelulusan segera peruntukan RM6 juta bagi pembinaan Akademi Sepak Takraw Malaysia.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, tanah yang dikenal pasti untuk projek itu merupakan milik Institut Sukan Negara (ISN) dan telah dipajakkan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi tujuan pembinaan akademi serta sebuah gelanggang khas sukan tersebut.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana saya sendiri tidak sangka permintaan RM6 juta ini diluluskan segera.
“Tapi ada syarat-syaratnya, saya akan berbincang dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia secepat mungkin kerana hasrat Perdana Menteri untuk realisasikan akademi ini sebelum pembentangan bajet,” katanya ketika ditemui selepas sesi pelancaran HKL Fun Run 2025 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, KBS tidak bercadang membina fasiliti baharu untuk setiap jenis sukan kerana kekangan sumber memandangkan terdapat lebih 100 jenis sukan di negara ini.
Melihat kepada populariti sepak takraw sebagai sukan tradisional yang terus berkembang serta prestasi membanggakan pasukan negara di Piala Dunia dan Piala Asia baru-baru ini, pembinaan akademi itu dilihat sebagai pelaburan tepat ke arah pembangunan sukan teras.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Anwar bersetuju untuk menyegerakan kelulusan penubuhan Akademi Sepak Takraw sebagai usaha memperkasa sukan tradisional yang dekat dengan masyarakat.
Pengumuman itu dibuat semasa Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka semalam. – KOSMO! ONLINE