LONDON – Tottenham Hotspur akhirnya mengesahkan kehadiran Thomas Frank selaku pengurus baharu kelab itu selepas bersetuju dengan kontrak ditawarkan selama tiga tahun hingga musim 2027/2028.
Frank dilantik menggantikan Ange Postecoglou yang telah dipecat pada minggu lalu sekali gus menjadi jurulatih keempat mengemudi pasukan berpangkalan di London itu sejak 2021.
Spurs dalam satu kenyataan mengakui Frank adalah salah seorang jurulatih yang memiliki falsafah bola sepak moden dan mampu memacu kelab ke tahap lebih baik.
“Kami sangat teruja mengesahkan kehadiran Frank selaku jurulatih dengan kontrak sehingga 2028. Malah, kami percaya pasukan telah mendapat sentuhan jurulatih progresif dan memiliki inovasi terbaik dalam arena bola sepak ketika ini.
“Frank juga memiliki latar belakang yang hebat dalam membentuk ramai pemain muda dan harap beliau dapat membantu pasukan membuat persiapan jitu sebelum musim baru bermula nanti,” kata kenyataan tersebut.
Spurs telah mengeluarkan dana yang besar melantik Frank selepas bersetuju membayar £10 juta (RM57.23 juta) kepada Brentford untuk menebus kontraknya awal minggu ini.
Pengendali dari Denmark itu bakal diberikan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk memulihkan maruah pasukan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-17 musim lalu.
Prestasi hambar di EPL menjadi salah satu punca Postecoglou dipecat walaupun berjaya menamatkan kemarau trofi dengan menjulang Liga Europa musim lalu. – AGENSI