fbpx

Selesai segera isu Pearly-Thinaah – Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAFRUL (dua dari kiri) bertemu meninjau sesi latihan pasukan kebangsaan di ABM semalam. - SYAKIR RADIN

BAGI memastikan pemain memberikan fokus sepenuhnya, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berharap isu kontrak beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah diselesaikan segera.

Setakat ini, kedua-dua pemain berkenaan masih belum menandatangani kontrak baharu bersama badan induk itu selepas kontrak terdahulu tamat pada Disember tahun lalu.

Zafrul berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak pengurusan berhubung perkara tersebut dan berharap keadaan itu tidak berlanjutan kerana ia boleh mengganggu prestasi pemain.

“Saya sudah pun bercakap serta berbincang dengan pihak pengurusan dan mereka sedang meneliti perkara ini. Kalau mereka (Pearly-Thinaah) menerima gaji, bermakna mereka masih lagi sebahagian daripada struktur kita.

“Saya juga sudah beritahu pengurusan supaya menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana ia dapat memastikan pemain mendapat lebih kepastian serta fokus,” katanya kepada pemberita ketika melawat sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Sebelum ini, timbul desas-desus gandingan No. 3 dunia itu mahu meninggalkan BAM dan bergerak secara profesional apabila mereka belum menandatangani kontrak baharu bersama badan induk berkenaan.

Sementara itu, Zafrul juga tidak membeza-bezakan pemain sama ada yang bernaung di bawah BAM ataupun bergerak secara profesional kerana menganggap semua pemain bermain demi lencana di dada.

“Kita mahu lihat pemain-pemain berjaya, tidak kiralah sama ada dalam BAM ataupun pemain bebas. Bagaimanapun, kami perlu lebih objektif, jadi berikan saya sedikit masa untuk buat penilaian,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI