KUALA LUMPUR – “Menghitung hari untuk diistiharkan muflis oleh pihak bank”.
Itulah nasib malang yang dialami oleh 24 mangsa penipuan selepas terjebak dalam satu skim penyelesaian hutang dikenali sebagai ‘Refresh & Reload’.
Modus operandi skim ‘Refresh & Reload’ itu didakwa menyasarkan golongan terdiri daripada guru, doktor dan penjawat awam yang mempunyai hutang tertunggak, khususnya kad kredit dan pinjaman peribadi.
Menurut Setiausaha Agung (MHO), Datuk Hishamuddin Hasyim, kerugian keseluruhan yang dialami oleh mangsa mencecah RM8.47 juta, melibatkan pinjaman perbankan yang kini gagal dibayar, meskipun sebelum ini dijanjikan penyelesaian hutang melalui skim berkenaan.
“Paling ramai terlibat adalah doktor perubatan mereka ini bukan calang-calang individu, tetapi petugas kesihatan di hospital awam yang kini berdepan tindakan muflis,” ujarnya.
Salah seorang Mangsa iaitu yang dikenali sebagai cikgu Ain, 39, tidak menyangka mengalami detik hitam yang boleh menyebabkan dirinya terjerat dengan hutang.
“Saya terpaksa membayar hutang sebanyak RM9000 sebulan melebihi gaji bulanan saya dan terfikir untuk perlu mencari kerja sampingan bagi membayar hutang,” katanya.
Situasi itu turut dialami Dr. Akmal, 35, yang terpaksa menggadaikan sebahagian harta yang dikumpul untuk membayar semula hutang.
“Gaji bulanan saya sebagai seorang doktor tidaklah banyak, namun terpaksa membayar hutang sebanyak hanpir RM12,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE