MELAKA – Seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam cedera parah selepas dipercayai diserang perompak bersenjatakan objek tumpul dalam kejadian rompakan di sebuah premis di Bukit Baru, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa dilaporkan dipukul di bahagian belakang leher sehingga mengalami pendarahan serius.
Menerusi video berdurasi 17 saat yang tular di media sosial, kelihatan seorang lelaki dipercayai pekerja premis tersebut melutut dalam keadaan lemah sambil memegang lehernya yang berlumuran darah.
“Bang kena rompak ke bang? Ni kena rompak ni, ya Allah rehat-rehat, berdarah kepala. Tolong-tolong kejadian berlaku sekarang,” kata individu yang merakamkan video berkenaan.
Turut kelihatan dalam rakaman itu dua lagi individu yang berada dalam keadaan terkejut melihat lantai premis yang dipenuhi kesan darah.
Difahamkan kini premis berkenaan ditutup dengan notis bertulis ‘kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan’, manakala beberapa tompokan darah masih jelas kelihatan di kaki lima kedai.
Kejadian melibatkan rompakan menggunakan besi dan suspek turut melarikan slot duit di dalam mesin juruwang di kaunter sebelum melarikan diri.
Difahamkan juga, premis itu bukan satu-satunya sasaran, sebaliknya satu lagi kedai serbaneka di Taman Delima Raya yang terletak berhadapan Balai Polis Bukit Baru turut menjadi mangsa rompakan dipercayai oleh individu sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang menyemak laporan berkaitan kejadian tersebut.-KOSMO! ONLINE