NEW DELHI – Satu rakaman video yang baharu muncul mencetuskan teori bahawa pintu kecemasan penerbangan milik Air India mungkin tercabut sebelum pesawat Boeing 787 Dreamliner itu terhempas di bandar Ahmedabad, lapor portal berita Metro.co.uk semalam.
Video itu memaparkan objek dipercayai pintu kecemasan melayang di udara sejurus sebelum Boeing itu terhempas di bangunan kediaman dan membunuh 241 penumpang dan kru kecuali seorang lelaki Britain, Viswash Kumar Ramesh.
Sebilangan netizen menyatakan, serpihan itu mungkin pintu kecemasan di sebelah tempat duduk bernombor 11A yang diduduki Vishwash.
Vishwash sebelum ini berkata, dia percaya pintu di sebelah tempat duduknya tercabut apabila pesawat tersebut melanggar sebuah bangunan, sebelum meletup menjadi bebola api.
Dia baru sahaja menanggalkan tali pinggang keledarnya sebelum itu berlaku.
Penerbangan Air India 171 terhempas kurang 60 saat selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel pukul 1.39 petang (waktu tempatan) menuju ke London kelmarin. – AGENSI