KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki yang maut selepas dirempuh kereta di Jalan Ipoh menghala ke Bulatan Kepong, semalam, berjaya ditemui pasukan penyelamat, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, jasad mangsa ditemui 150 meter dari lokasi kemalangan.
“Identiti mangsa belum dikenal pasti dan mayat akan dibawa ke Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan pengecaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes diklasifikasi semula di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang pejalan kaki hilang di sungai selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Ipoh menghala ke Bulatan Kepong, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Sylphy dipandu seorang lelaki Bangladesh berusia 39 tahun.
Kenderaan dipandu suspek dilihat melanggar bahagian depan sebuah kereta jenis Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam sebelum melanggar pejalan kaki terbabit. – KOSMO! ONLINE