SEPANG – Kumpulan pertama 283 jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M selamat tiba di tanah air kira-kira pukul 8.50 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat MH8251.
Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa kesemua 31,600 jemaah haji pulang ke tanah air bermula hari ini dan penerbangan terakhir dijadualkan pada 10 Julai depan.
Setakat hari ini, seramai 14 jemaah haji negara, iaitu sembilan lelaki dan lima perempuan berusia antara 47 hingga 78 tahun, meninggal dunia di Tanah Suci dengan kebanyakan mereka terkena serangan jantung.
Sementara itu, Mohd Na’im ketika ditemui berkata, dengan kembalinya rombongan jemaah haji yang pertama ini menandakan bermulanya fasa kedua iaitu kepulangan jemaah haji ke tanah air. – KOSMO! ONLINE