MONTREAL – Ferrari menafikan laporan media Itali bahawa kedudukan ketua pasukan, Fred Vasseur dalam kedudukan bahaya susulan prestasi musim yang kurang memberangsangkan.
Spekulasi tersebut mula timbul selepas laporan Corriere della Sera yang mendakwa Ferrari sedang mempertimbangkan ketua program endurance mereka, Antonello Coletta sebagai calon pengganti Vasseur.
Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mempertahankan Vasseur dan memberikan sokongan penuh kepada apa jua keputusan ketua pasukan itu di Ferrari.
“Bukan sesuatu yang baik apabila mendengar berita seperti itu. Saya seronok bekerjasama dengan Fred (Vasseur) kerana beliau adalah sebab utama saya menyertai Ferrari dan diberi peluang ini. Saya menghargainya dan kini kami sedang berjuang bersama.
“Keadaan memang belum sempurna, tetapi saya di sini untuk bekerja bukan hanya dengan pasukan, tetapi juga bersama Fred. Saya mahu beliau kekal di sini, saya percaya beliau orang yang tepat untuk membawa kami kembali ke puncak,” kata Hamilton.
Hamilton turut menyifatkan khabar angin pertukaran itu sebagai ‘tidak masuk akal’ dan menolak sebarang keperluan untuk membuat perubahan ketika masih dalam proses penyesuaian.
Dalam masa sama, Hamilton turut menafikan spekulasi bahawa beliau mungkin bersara lebih awal dan menjelaskan komitmennya untuk jangka panjang bersama Ferrari.
“Saya di sini untuk tempoh yang panjang. Tiada persoalan tentang ke mana hala tuju fikiran saya dan apa yang saya mahu capai bersama pasukan ini,” ujarnya.
Ferrari ketika ini berada di tempat kedua kejuaraan pengeluar selepas sembilan pusingan, namun masih belum meraih sebarang kemenangan dan ketinggalan 197 mata di belakang pendahulu, McLaren. – AGENSI