KUALA LUMPUR – PEMAIN beregu campuran negara, Toh Ee Wei menyatakan rasa kagum terhadap gandingan No. 1 Thailand, Dechapol Puavaranukroh–Supissara Paewsampran yang dianggap antara beregu terbaik dunia.
“Dechapol ialah pemain yang pernah menjadi juara dunia. Dia sudah bermain untuk tempoh yang lama, jadi sangat berpengalaman dalam gelanggang.
“Dia tahu bagaimana untuk mengawal tekanan dengan baik. Ini yang kami kena belajar daripada mereka,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Sebagai rekod, Dechapol pernah bergelar juara dunia pada 2021 ketika bergandingan bersama Sapsiree Taerattanachai sebelum digandingkan dengan Supissara selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada saingan Terbuka Indonesia minggu lalu, gandingan Dechapol-Supissara meleburkan hasrat Tang Jie-Ee Wei untuk melangkah ke separuh akhir apabila mereka menewaskan pasangan negara itu di suku akhir.
Ee Wei menjelaskan, kekalahan kepada pasangan Thailand itu bukanlah berpunca daripada kurang keserasian ekoran mereka baru sahaja kembali bergandingan pada Terbuka Singapura awal bulan ini.
Sebaliknya, pemain kelahiran Melaka itu menganggap kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan sepanjang perlawanan merupakan faktor utama mereka kempunan untuk mara ke pusingan empat terbaik.
“Memang kita banyak buat kesilapan sendirilah, terutamanya di set kedua sehingga memberi kelebihan kepada mereka. Bagi saya, keserasian biasa sahaja dan sama seperti sebelum ini,” ujar Ee Wei. – KOSMO! ONLINE