MACHANG – Dua maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung di Jalan Machang-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Samad di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, Ahmad Illman Hakim Abd. Rahman, 30, yang memandu kereta jenis Honda Accord meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta Perodua Axia, Siti Nurmunirah Yaacob, 26, menghembuskan nafas terakhir semasa dirawat di Hospital Machang di sini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohd. Suhaimi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.25 tengah malam sebelum anggota Balai Bomba Machang bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati kedua-dua pemandu kereta itu tersepit di dalam kereta masing-masing.
“Pemandu kereta Honda Accord dapat dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang wanita yang memandu Perodua Axia bersama anak saudaranya berusia 13 tahun dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut,
“Wanita itu bagaimanapun meninggal dunia beberapa jam kemudian semasa dirawat di hospital. Anak saudaranya yang cedera turut dirawat di hospital sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Suhaimi berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Honda Accord itu sedang perjalanan dari arah Machang ke Kota Bharu manakala kereta Perodua Axia berada di laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE