KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menyegerakan kelulusan penubuhan Akademi Sepak Takraw sebagai usaha memperkasa sukan tradisional yang dekat dengan masyarakat.
Menurut Anwar, walaupun bola sepak menjadi tarikan utama anak muda, sepak takraw telah membuktikan keupayaannya di peringkat serantau dan dunia.
“Sepak takraw mencatat prestasi membanggakan di rantau ini dan dunia. Ia menarik perhatian masyarakat di bandar mahupun desa. Hampir setiap kampung mempunyai pasukan dan permainan ini,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Anwar turut menyatakan persetujuannya terhadap permohonan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mencadangkan peruntukan RM6 juta bagi projek akademi tersebut.
“YB Hannah minta RM6 juta, tetapi saya hendak runding dulu, tengok kalau boleh potong sikit. Tetapi ia boleh diluluskan segera supaya siap sebelum hujung tahun ini jika disegerakan,” ujarnnya.
Penubuhan akademi ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani yang komited mengangkat sukan tempatan dan memperkukuh jati diri melalui seni budaya.-KOSMO! ONLINE