BANGKOK – Dua lelaki di Thailand ditahan kerana menyamar sebagai pegawai polis dan memeras ugut seorang warga India dengan meminta wang sebanyak 5,000 baht (RM655), lapor portal berita Thaiger kelmarin.
Kejadian berlaku di Jalan Sri Chamni berhampiran pejabat perbandaran di daerah Mueang, wilayah Sing Buri pada Isnin lalu.
Tangkapan dibuat selepas mangsa bernama Sanjay Siner, 53, memfailkan aduan di Balai Polis Mueang Sing Buri pada hari sama.
“Kedua-dua lelaki itu memaksa saya untuk masuk ke dalam kenderaan mereka dan meminta wang tunai 5,000 baht. Selepas menerima wang, mereka tinggalkan saya di tepi jalan,” kata Siner.
Polis tempatan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan mengenal pasti kenderaan yang dipandu suspek.
Kedua-dua suspek diberkas selepas polis berjaya mengesan kereta berkenaan di Jalan Sing Buri-Chat Nai kelmarin.
“Kami menemui seragam dan kad pengenalan polis palsu. Hasill ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah,” kata polis.
Siasatan sedang giat dijalankan. – AGENSI