PETALING JAYA – Tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan tindakan berbahaya seorang pemandu bas ekspres yang bukan sahaja memandu secara melulu, malah turut menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna lebuh raya lain.
Dalam video berdurasi 30 saat yang dikongsikan beberapa pengguna Facebook, bas berkenaan dilihat menggunakan lorong kecemasan untuk memotong beberapa kenderaan dan tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa ramai pihak.
Lebih mengejutkan, pemandu bas berkenaan turut menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pengguna lebuh raya yang dipercayai merakam aksinya dari dalam kereta.
Perbuatannya menimbulkan kemarahan netizen yang mengecam sikap tidak profesional dan tidak bertanggungjawab pemandu terbabit.
“Bas sekarang dah rosak, hari-hari lalu isu bas duk menggila atas jalan raya. Mohon pihak JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) black list (senarai hitam) terus pemandu-pemandu macam itu,” kata Oscar.
“Dah boleh report (buat laporan). Terang-terang ada bukti,” kata Erin Adrian.
Sementara itu, dalam satu rakaman berbeza yang tular di TikTok, seorang pengguna mendakwa bas sama pernah memandu lebih 140 kilometer/jam (km/j) di sebuah lebuh raya.
“Husband (suami) dah pandu 140km/j di lorong kanan, terkejut kena ‘high beam’. Habis kereta-kereta lain depan dia ‘high beam’ juga. Dia lagi laju, bahaya,” kata pengguna tersebut.
Bagaimanapun, waktu dan lokasi bagi kedua-dua kejadian itu tidak dapat dipastikan. – KOSMO! ONLINE