JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori warga emas didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majitret di sini semalam selepas mengaku bersalah atau tuduhan memandu secara cuai hingga menyebabkan kerosakan kepada kemudahan awam, Selasa lalu.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Chew Ah Sing, 69, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang memandu lori itu telah memandu di atas jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya dengan keadaan gagal menurunkan bahagian bucket kenderaan berat yang dipandunya sebelum melanggar kabel elektrik.
Akibat kecuaian tersebut, kemalangan itu turut mengakibatkan kerosakan terhadap tiga tiang elektrik, sebatang tiang lampu isyarat, sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah pondok bas. Perbuatan itu dilakukan pada pukul 3.20 petang di Kilometer 30.7 di Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas, 10 Jun lalu.
Mahkamah juga boleh mengendorse atau membatalkan lesen memandu tertuduh bergantung kepada keputusan penghakiman.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd. Zulkifli.
Sharmaine memohon jaminan yang minimum kerana pemandu lori berpendapatan RM2,000 sebulan itu mempunyai tanggungan isteri dan anak yang masih belajar.
Mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM6,000 dan boleh dikenakan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda selain lesen memandu diendorsekan. – KOSMO! ONLINE