MELAKA – Seorang tukang cuci didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak gadis kekasihnya yang berusia 15 tahun, tahun lalu.
Tertuduh, Tay Kok Seng, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Haderiah Siri dan Rohatul Akmar Abdullah.
Bagi pertuduhan dihadapan Hakim Haderiah, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun bagi tujuan seksual.
Sementara itu, dihadapan Hakim Rohatul Akmar, tertuduh yang menetap bersama kekasihnya sejak tiga tahun lalu berdepan dua pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 malam di dalam bilik tidur sebuah rumah dalam daerah Melaka Tengah pada 18, 19 dan 20 November 2024.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan, tetapi mencadangkan jumlah RM15,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara, sementara Wardah mencadangkan jaminan RM20,000.
Peguam Quek Kia Ping yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan kira-kira RM3,000, selain menanggung dua anak yang masih bersekolah. Kia Ping turut memaklumkan tertuduh dan mangsa kini tidak lagi tinggal bersama dengan jarak 10 kilometer.
Hakim Haderiah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000, manakala Rohatul Akmar membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi dua pertuduhan. Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada tarikh 21 Julai depan. – KOSMO! ONLINE