MADRID – Bintang baharu Real Madrid, Trent Alexander-Arnold teruja dapat mengikut jejak langkah idolanya, Xabi Alonso yang kini menjadi pengendali pasukan itu selepas sah bergelar salah seorang ‘Galacticos’ di Santiago Bernabeu.
Alexander-Arnold melengkapkan perpindahan secara percuma dari Liverpool kelmarin tetapi gergasi La Liga itu masih perlu mengeluarkan dana sebanyak £10 juta (RM57.23 juta) untuk memastikan khidmatnya dapat digunakan pada kempen Piala Dunia Kelab (CWC) 2025.
Menurutnya, peluang untuk bekerjasama dengan Alonso yang juga bekas tonggak The Reds menjadi salah satu punca keputusannya untuk berhijrah ke Real selain tradisi hebat yang ada dalam kelab berpengaruh itu sendiri.
“Tidak keterlaluan untuk saya katakan Alonso banyak mencorakkan cara permainan saya terutama aspek hantaran bola. Beliau kini menjadi pengendali pasukan dan harap saya dapat belajar banyak perkara daripadanya.
“Selain itu, saya sudah lama mengimpikan detik untuk menjadi pemain Real dan apa yang berlaku seperti mimpi jadi kenyataan. Saya cukup hormati kelab ini dan mahu jadi sebahagian daripada sejarah baharu yang bakal diukir nanti,” katanya.
Menariknya, Alexander-Arnold, 27, mengakui sudah mempelajari bahasa Sepanyol sejak beberapa bulan lalu bagi memudahkannya menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan.
“Saya telah mengejutkan ramai pihak termasuk presiden (Florentino Perez) selepas bercakap dalam bahasa Sepanyol pada sesi pengenalan sebelum ini.
“Ia cukup penting untuk membuktikan bahawa saya serius untuk terus diserapkan dalam skuad utama terutama di CWC yang akan bermula minggu depan,” katanya.