SHAH ALAM – Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilaksanakan sejak 2017 perlu dirombak secara besar-besaran kerana disifatkan gagal dan tidak efektif sama sekali.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kegagalan utama meliputi kaedah yang digunakan bagi sistem pemberian mata demerit kesalahan ke atas pesalah trafik.
Tegas beliau, kiraan demerit Kejara hanya berkuat kuasa selepas individu itu melunaskan saman atau didakwa di mahkamah dan bukannya ketika melakukan kesalahan berkenaan.
“Masalah utama yang dihadapi kini adalah ramai pesalah tidak membayar saman itu mencecah jutaan ringgit dan ribuan kes di mahkamah.
“Justeru, saya secara terbuka menganggap sistem itu bukan saja langsung tidak efektif malah gagal dan perlu dirombak,” katanya pada sidang akhbar perasmian majlis penggunaan peranti kawalan had laju (SLD) bagi kenderaan perdagangan di sini, hari ini.
Kosmo! kelmarin melaporkan pelaksanaan Kejara bagi menilai dan mendisiplinkan pemandu melalui pengumpulan mata demerit didakwa tidak berkesan kerana pelaksanaan hukuman bergantung sepenuhnya kepada bayaran kompaun atau keputusan mahkamah.
Mengulas lanjut, kata Anthony, sistem itu masih diteruskan namun akan dirombak secara terperinci. – KOSMO! ONLINE