fbpx

‘Saya tidak tahu bagaimana boleh terselamat’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMESH merupakan satu-satunya penumpang terselamat dalam nahas Boeing 787 milik Air India. – AGENSI

NEW DELHI – Seorang lelaki Britain menjadi individu tunggal terselamat dalam nahas penerbangan Air India membawa 242 orang yang terhempas sejurus selepas berlepas di bandar Ahmedabad, barat laut India.

Vishwash Kumar Ramesh yang berada di tempat duduk 11A berkata, pesawat itu terhempas sejurus selepas berlepas. Abangnya berada dalam penerbangan yang sama.

“30 saat selepas berlepas kendengaran bunyi kuat dan kemudian pesawat ini terhempas. Semuanya berlaku dengan begitu pantas,” kata Ramesh kepada akhbar Hindustan Times dari hospital awam tempat dia dirawat di Asarwa, Ahmedabad.

Warga Britain berusia 40 tahun itu memberitahu, dia menaiki penerbangan pulang ke Britain selepas melawat keluarganya di India. Dia menetap di Britain selama lebih 20 tahun.

Seorang lagi saudara mangsa yang bercakap dari rumah keluarganya di Leicester berkata, Ramesh ‘tidak tahu’ bagaimana dia dapat melarikan diri dan terselamat dalam nahas itu.

“Kami terkejut sebaik mendengar berita Ramesh selamat. Saya kali terakhir bercakap dengannya pagi semalam.

“Ramesh tidak tahu bagaimana dia boleh keluar daripada pesawat itu. Semuanya berlaku dengan spontan,” kata saudara mangsa, Nayan Kumar Ramesh, 27.

Pegawai perubatan yang merawat Ramesh, Doktor Dhaval Gameti pula berkata: “Pesakit hilang arah kerana mengalami pelbagai kecederaan di seluruh badannya. Namun, dia telah keluar daripada bahaya.” 

Laporan awal menyatakan bahawa semua penumpang pesawat itu meninggal dunia, tetapi polis tempatan mengesahkan mereka menemui seorang mangsa yang terselamat. Pesawat itu terhempas ke dalam bangunan sebuah kolej perubatan diikuti oleh letupan besar.

Penerbangan menggunakan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu turut membawa 53 warga Britain dalam kalangan 242 penumpangnya. Ia terhempas di kawasan perumahan Meghani Nagar, beberapa minit selepas berlepas pada pukul 1.38 tengah hari (waktu tempatan) semalam.

Pesuruhjaya polis Ahmedabad, GS Malik, memberitahu agensi berita ANI bahawa terdapat seorang mangsa yang terselamat berada di kerusi 11A, manakala laporan seterusnya menyebut mangsa tersebut adalah Ramesh dan dia dirawat di hospital berdekatan. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI