fbpx

Remaja disyaki bunuh ibu, abang direman tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VAN yang membawa suspek meninggalkan pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh selepas remaja tersebut diperintahkan untuk ditahan reman selama tujuh hari. - Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!

MELAKA – Seorang remaja lelaki direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh ibu dan abang kandungnya dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai di sini, semalam.

Perintah reman sehingga 19 Jun ini dikeluarkan Majistret N. Sivashangari terhadap suspek berusia 17 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam Kosmo! melaporkan, seorang guru wanita dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai dibunuh, manakala seorang lagi ahli keluarga itu parah dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai.

Dalam tragedi kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa wanita yang berusia 51 tahun dan anak sulung 21 tahun ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu.

Anak bongsu keluarga itu berusia 13 tahun yang terselamat telah ditemui jiran tetangga di kawasan garaj kediaman tersebut.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja yang juga merupakan anak kedua keluarga tersebut berusia 17 tahun selepas disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.

Hasil pemeriksaan di lokasi turut menjumpai senjata iaitu pisau lipat sepanjang 20 sentimeter di dalam beg sekolah milik suspek.

Motif kejadian dipercayai akibat dendam apabila kedua-dua mangsa dikatakan sering memarahi suspek dan memaksanya belajar susulan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI