fbpx

Prof. Muhaya pun jadi pelakon, setahun kena ‘booking’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAYA mengakui tertarik berlakon dalam filem Keajaiban Air Mata Wanita kerana penglibatan Fajar Bustomi yang sebelum ini terbabit dalam naskhah Buya Hamka.

KUALA LUMPUR – Pakar motivasi tersohor, Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad mengakui pembabitannya dalam filem Indonesia, Keajaiban Air Mata Wanita berlaku tanpa dirancang.

Menurut Muhaya, penulis buku Rahsia Magnet Rezeki, Ustaz Nasrullah yang juga penulis skrip mempelawanya untuk muncul sebagai ‘cameo’ dalam filem arahan Indra Gunawan itu meski pada awalnya berasakan permintaan tersebut sedikit sukar untuk dipenuhi.

“Setahun lalu, Pak Nas (panggilan Nasrullah) beritahu dia ingin hasilkan sebuah filem dan mahu saya berlakon sekali dalam filem ini.

“Kemudian Pak Nas beritahu antara yang terbabit untuk naskhah ini adalah Fajar Bustomi yang buat filem Buya Hamka, itu yang saya tertarik,” katanya pada majlis tayangan perdana dan sidang media filem Keajaiban Air Mata Wanita di sini, semalam.

Tambah Muhaya, kemunculannya dalam filem tersebut juga tidak bergantung kepada skrip.

“Saya boleh kata perkara ini tak dirancang langsung, malah skrip juga tidak ada dalam perancangan.

“Bila produksi datang ke rumah saya, mereka terus mulakan penggambaran. Semuanya terjadi secara spontan tanpa ada skrip pun,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, pakar bedah mata itu berkata, antara sebab dia terbuka untuk menerima pelawaan itu kerana melihat mempunyai mesej positif boleh disampaikan kepada penonton.

“Saya sokong usaha Pak Nas yang mahu menyampaikan mesej positif menerusi filem. Semua ini bagus untuk mempengaruhi pemikiran seseorang dan memerlukan tiga kaedah iaitu visual, auditori dan emosi.

“Perhatikan dalam semua filem, apa sahaja yang orang tonton dengan emosi memang akan serap dalam jiwa.

“Semua adegan berceramah dan penyampaian ilmu dalam filem ini semua akan diserap penonton tanpa sedar,” tuturnya.

Keajaiban Air Mata Wanita yang akan mula ditayang bermula 19 Jun depan di pawagam seluruh negara membariskan pasangan pelakon popular Indonesia, Citra Kirana dan Rezky Aditya.

Sebelum ini, filem berkenaan sudah ditayangkan di Indonesia pada 23 Januari lalu dan meraih sambutan hangat di sana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI