PETALING JAYA – Perbezaan paparan maklumat antara versi bahasa Melayu dan Inggeris dalam sistem semakan status perjalanan di laman rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjadi punca aktivis kontroversi, Fahmi Reza dihalang ke Singapura, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, perkara itu telah menimbulkan kekeliruan ketika pemeriksaan dijalankan terhadap individu berkenaan.
Menurutnya, tiada halangan dikenakan kepada Fahmi untuk membuat perjalanan ke luar negara, namun sekatan masuk ke Sabah masih berkuat kuasa di atas arahan pihak berkuasa negeri.
“Hal ini timbul kerana portal versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian.
“Justeru, portal versi Bahasa Inggeris telah ditutup sementara waktu bagi tujuan pengemaskinian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, JIM sedang menjalankan semakan teknikal secara dalaman bagi memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat yang dipaparkan dalam semua versi bahasa agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Fahmi mendakwa dihalang untuk ke luar negara selepas disenarai hitam dari memasuki Sabah baru-baru ini.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook berkata, dia mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Singapura.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang sekatan rasmi dikenakan terhadap Fahmi seperti yang dilaporkan semalam. – KOSMO! ONLINE