LUMUT – Program Madani Rakyat (PMR) Perak 2025 di Lumut Waterfront di sini yang bermula hari ini memberi peluang kepada orang ramai khususnya penduduk Manjung, mengetahui pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan untuk rakyat.
Aktiviti di pentas utama bermula pukul 9 pagi dengan Program Prelude Jelajah Nyalaan Bara Api Bersama Cikgu Saarani dan program berbentuk motivasi itu melibatkan pelajar sekolah menengah dari sekitar daerah Manjung dan daerah berdekatan.
Tinjauan mendapati, khemah besar yang menempatkan reruai kementerian menjadi tumpuan ramai bagi mendapatkan pelbagai maklumat termasuk Kementerian Kewangan yang menawarkan perkhidmatan menyemak wang tidak dituntut.
Reruai MyFutureJobs pula menampilkan 14 majikan yang sebahagian besarnya dari sekitar daerah Manjung, menawarkan 63 jawatan kosong untuk dipenuhi, menerusi peluang temuduga secara langsung.
Turut menjadi tumpuan ialah reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menawarkan pertukaran topi keledar yang rosak dan tidak mematuhi spesifikasi dengan topi keledar baharu secara percuma.
Pameran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempamerkan pelbagai jenis senjata berat turut menjadi tumpuan. Perkhidmatan lain termasuk pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, pendaftaran Identiti Digital Nasional (IDN) serta pembayaran saman trafik.
Program selama tiga hari itu anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai kementerian peneraju dan Kerajaan Negeri Perak yang juga tuan rumah.
Ia bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam pada hari ini dan esok serta pukul 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad dengan tema ‘Pendidikan Tinggi Pemacu Negara Madani’. – KOSMO! ONLINE